Bismillah. Alhamdulillah.
Sempena musim walimatul urus ni, saya kongsikan tinta daripada Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Saya lakarkan coretan ringkas ini untuk murid-muridku yang menuju ke Gerbang Perkahwinan. Ini kerana ramai murid-muridku yang telah melangsungkan alam rumahtangga dan ada yang sedang menanti hari bahagia itu.
Tujuan pesanan ini bersifat umum yang sesuai difahami untuk panduan dalam melayari kehidupan. Inilah pesananku.
• Binalah niat yang solehah dahulu di mana perkahwinan semata-mata kerana Allah dan mengikut sunnah Nabi s.a.w.
• Menjadikannya sakinah, mawaddah dan rahmat seperti yang termaktub di dalam nas Ilahi.
• Mengharapkan suami/isteri dan zuriat solehah yang menjadi penawar kehidupan dan penyejuk mata hati.
• Bercita-cita melaksanakan hak-hak yang wajib dan mu’asyarah dengan ma’ruf.
• Matlamatkan untuk menjadi suami mithali dan isteri mithaliah yang seterusnya menjadi ibu bapa mithali dan contoh terbaik kepada anak-anak.
• Binalah keluarga dengan qiamullail pada setiap malam dan solat berjemaah.
• Lazimilah majlis-majlis ilmu bersifat mingguan.
• Saling hadiah-menghadiahi antara pasangan dan kaum keluarga.
• Jika berlaku salah faham dan juga ingin membuat keputusan yang besar hendaklah disyura antara suami Isteri.• Laksanakanlah nafkah zahir dan batin dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.
• Binalah hubungan yang baik dengan kaum keluarga daripada kedua-dua belah pihak dengan menyantuni dan menziarahinya.
Seterusnya sedikit pesanan dengan "JANGAN". Antaranya:
• JANGAN cepat marah dan melenting
• JANGAN cemburu buta
• JANGAN kedekut dan bakhil
• JANGAN mudah merajuk
• JANGAN pukul-memukul
• JANGAN suka mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengan kita
• JANGAN suka berhutang kecuali yang perlu dan dharurat sahaja.
Ingatlah rumah tangga ibarat melayari bahtera yang kadang-kadang dilanda ombak dan angin yang kencang. Boleh jadi bongkah batu karang di tengah samudera boleh memecahkan bahtera tersebut. Justeru perlu ada hikmah dan sentiasa tawajjuh serta munajat kepada-Nya.
Selamat Pengantin Baru dan semoga diberkati Allah dalam kehidupan.
Gurumu yang ikhlas, SS Ustaz Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri 7 Mei 2015M bersamaan 18 Rejab 1436H
Wallahua'lam :)
